Amat banyak kitab mengenai ajaran agama Islam telah dihasilkan dalam tempoh di antara abad ke-17 sehingga awal abad ke-20 Masihi. Ia ditulis dalam bahasa Melayu lama menggunakan skrip Jawi. Sejak awal kedatangan Islam, kitab menjadi sumber rujukan yang amat penting mengenai Islam bagi orang-orang Melayu di Kepulauan Melayu kerana sebahagian besar daripada mereka tidak tahu Bahasa Arab.

Kebanyakan kitab-kitab Jawi ini merupakan terjemahan atau penyesuaian dari karya-karya Arab, disertai dengan pandangan tempatan. Kadangkala, tajuk asal juga telah diubah. Bidang pengetahuan yang diliputi oleh kitab-kitab ini adalah ilmu tauhid, fikah, hadis dan tasawuf.

MSS 1102
Sirat al-mustaqim

Disalin oleh Lebai Polam Aceh pada bulan Zulkaedah 1091H. [1680M.]. Dikarang oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri pada tahun 1044H. [1634M.]. Sebuah kitab fikah mazhab Imam Syafie.

MSS 1136
Warda al-zawahir

Disalin oleh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Haji Abdul Kadir pada hari Rabu, 13 Syawal [1846M.] di Jala, Patani. Dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani pada hari Selasa, 9 Rejab 1245H. [4 Januari 1830M.] Membicarakan sekitar soalan tauhid dan tasawuf berdasarkan kepada hadis.

MSS 691
Sayr al-salikin ila 'ibadah rabb al-'alamin

Disalin pada 4 Rabiulawal 1211H. [7 September 1796M.] di Mekah. Dikarang oleh Abdul Samad Jawi Palembani pada tahun 1194H. [1780M.] di Mekah. Menerangkan kelebihan menuntut ilmu tasawuf dan membicarakan segala yang membinasakan hati dan ibadat.
MSS 1129
Matn al-jurumiah

Disalin oleh Hashim bin Haji Musa dan Abdul Majid, orang Mandailing, pada tahun 1314H. [1896M.] di Kampung Bendang Jum, Patani. Menerangkan kaedah nahu bahasa Arab.
MSS 1517 (A)
Khalq al-samawati wa al-ard

Dikarang oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri pada hari Ahad, 6 Muharam 1047H. [31 Mei 1637M.] atas perintah Sultan Iskandar Thani. Manuskrip ini merupakan Bab 1 Bustan al-salatin dan menyatakan kejadian tujuh petala langit dan bumi, dalam 10 fasal.
MSS 2298 (1)
Kasyf al-ghummah

Selesai ditaswid pada malam Rabu, 20 Rabiulawal 1238H. [5 Disember 1822M.] di Mekah. Tamat disalin pada bulan Jamadilawal 1274H. [1857M.] di Mekah. Menerangkan mengenai mati, alam barzakh dan kejadian pada hari akhirat.
MSS 2342
Mir’at al-Quran

Selesai disalin oleh Muhammad Ali bin Syahabuddin Fatani pada hari Ahad akhir bulan Rabiulakhir 1297H. [1879M.] di Mekah. Diterjemah oleh anak Syeikh Abdul Mu'ti ibn Syeikh Muhammad Salleh pada tahun 1193H. [1779M.] Memperkatakan tentang ilmu dan hukum tajwid dalam membaca al-Quran secara terperinci.
MSS 2350
Hill al-zill

Ditulis oleh Syeikh Nuruddin ibn Ali ibn Muhammad Hamid Hasanji.
Sebuah kitab tasawuf yang menghuraikan pengertian perkataan ‘zill’ dan kejadiannya mengikut istilah ahli tasawuf yang disampaikan dalam bentuk soal jawab.
MSS 2380
Minhaj al-'abidin ila jannah rabb al-'alamin

Selesai disalin oleh Abdul Ghafur bin Syamsuddin pada hari Jumaat, 30 Jamadilawal 1242H. [20 Januari 1827M.]. Selesai diterjemah oleh Syeikh Daud bin Abdullah Fatani pada hari Jumaat, 15 Jamadilakhir 1240H. [4 Februari 1825M.] di Mekah. Menunjukkan jalan untuk mengerjakan ibadat daripada aspek tasawuf.
MSS 2348
Bughiyat al-tullab li murid ma'rifat al-ahkam bi al-sawab

Dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah Fatani.
Membincangkan tentang amalan-amalan fikah yang dituntut bagi setiap Muslim yang dibentangkan dengan terperinci.
MSS 2360
Hidayat al-salikin

Selesai diterjemah oleh Abdul Samad Jawi Palembani pada hari Selasa, 5 Muharam 1197H. [11 Disember 1782M.] di Mekah. Membincangkan pelbagai adab yang dibahagikan kepada 7 bab. Antaranya adab qada hajat, mengambil wuduk, masuk masjid, adab meninggalkan pekerjaan maksiat dan adab bercampur gaul dengan makhluk Allah.

Carian Manuskrip Melayu 
 
Paparan Terbaik - Netscape4 or IE4 ke atas dengan resolusi 800x600; RealPlayer dan Flash Player.

Hak Cipta Terpelihara ©2002 Manuskrip Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia, 232, Jalan Tun Razak, 50572 Kuala Lumpur, MALAYSIA.