KOLEKSI

Koleksi Peribadi


Koleksi bahan perpustakaan yang ditakrif sebagai Koleksi nadir adalah bahan terbitan lama yang diterbitkan sebelum tahun 1900. Takrif ini juga diterima pakai bagi bahan yang amat sukar diperolehi ataupun sudah habis cetakan dan tidak lagi didapati dalam pasaran. Walaupun perolehan bahan Malaysiana semasa dapat dilakukan dengan agak mudah, ianya agak berbeza dengan bahan nadir. Proses perolehan banyak tertumpu kepada tugas pengesanan iaitu melibatkan tugas meneliti katalog penerbit atau pembekal buku antikuarian dan firma lelongan, juga mengesan institusi atau orang perseorangan dari dalam atau luar negara yang mempunyai koleksi buku atau terbitan lama yang boleh dirundingkan perolehannya sama ada secara hadiah, pertukaran ataupun pembelian. Kemungkinan juga terdapat beberapa

   

orang individu, jabatan kerajaan dan juga persatuan yang mempunyai koleksi bahan terbitan lama negara yang belum ada di dalam koleksi PNM yang disumbangkan untuk dipelihara sebagai khazanah warisan ilmu negara ini. Adalah amat diharapkan agar mereka yang mempunyai koleksi yang seumpama ini akan tampil untuk menghubungi PNM dan sama-sama berusaha membina khazanah ilmu ini.

Koleksi nadir Malaysiana mula terbina pada tahun 1970’an iaitu melalui bahan yang dihadiahkan dari beberapa perpustakaan tempatan seperti dari Kuala Lumpur Book Club; Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka; Henry Gurney Memorial Library dan Perpustakaan Perbandaran Johor Bahru. Pada bulan Jun 1982, Yang Berbahagia Dato’ Hashim Sam Abdul Latif, Ketua Pengarah PNM ketika itu telah berjaya membawa balik 1,652 naskhah bahan nadir yang sebahagian besarnya adalah bahan Malaysiana dari pejabat Pesuruhjaya Malaysia di United Kingdom. Bahan koleksi ini telah dipulihara dan menjadi koleksi Malaysiana yang amat bernilai.


Koleksi Peribadi

Kesukaran mengesan dan memperolehi bahan Malaysiana terutama bahan nadir amat dirasakan kini. Justeru itu, PNM amat mengharapkan kerjasama dan ihsan individu untuk membantu dalam usaha mengesan bahan-bahan ini. Individu yang mempunyai koleksi sendiri atau mengenali mereka yang mempunyai koleksi yang berkemungkinan boleh dirundingkan perolehannya oleh PNM sentiasa menjadi buruan pegawai yang bertanggungjawab kepada pembangunan koleksi Malaysiana PNM. Pembinaan koleksi PNM dari perolehan koleksi peribadi individu belum boleh dikatakan satu pelaburan yang mudah dilakukan. Namun koleksi yang telah diperolehi sehingga kini telah berupaya memantapkan koleksi nadir PNM pada satu tahap yang sangat membanggakan. PNM bertuah dipertemukan dengan individu yang mempunyai koleksi terbaik yang sudi menawarkan koleksinya untuk diperolehi oleh PNM. Namun tidak mustahil juga berkemungkinan adanya lagi individu yang mempunyai beberapa lagi bahan nadir Malaysiana dalam simpanan mereka atau simpanan keluarga mereka yang tidak mengetahui akan kemungkinannya bahan ini ditawarkan kepada PNM untuk diperolehi dan diabadikan sebagai khazanah negara. Antara koleksi nadir dan koleksi peribadi yang telah diperolehi oleh PNM adalah:

Koleksi Abdul Rahman Al-Ahmadi

Abdul Rahman A-Mahdi adalah seorang budayawan dan pengarang tempatan yang pernah berkhidmat dengan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Beliau juga pernah menjadi Mualim Tamu di Pusat Manuskrip Melayu di PNM dari tahun 1993 hingga 1994.

Perpustakaan Negara Malaysia merasa bertuah kerana dalam tahun 1994 ia diberi kesempatan untuk memperolehi koleksi peribadi Abdul Rahman Al-Mahdi. Koleksi ini mengandungi 1,500 judul merangkumi bahan yang memaparkan sejarah perkembangan pendidikan pondok di negeri Kelantan dan juga bahan yang meliputi bidang sejarah, novel, kitab tajwid, syair, karya ulama dan majalah, termasuk majalah penting Pengasuh. Keistimewaan koleksi ini tertumpu kepada pengumpulan karya-karya ulama Kelantan seperti Haji Umar Nuruddin, Sheikh Haji Wan Ali, Haji Ahmad Mahir, Datok Perdana Menteri Haji Nik Mahmud dan Haji Muhammad Nur Ibrahim.

 

Koleksi John Bastin

Koleksi peribadi terbesar yang pernah diperolehi PNM ialah perolehan dari The Malayan Library of John Bastin yang telah dilakukan pada tahun 1995. John Bastin adalah seorang professor yang tidak asing dalam pengajian sejarah Malaya dan Indonesia. Beliau adalah pengasas kepada pengajian sejarah di Universiti Malaya dan adalah dekan fakulti sastera yang pertama di universiti tersebut sebelum berpindah untuk menghabiskan perkhidmatannya sebagai pensyarah dalam pengajian sejarah moden Asia Tenggara di University of London. Kerjayanya sebagai seorang yang amat dekat dengan sejarah telah menjadikannya sebagai seorang yang banyak mengumpul pelbagai buku mengenai Tanah Melayu yang merangkumi hampir kesemua bidang kajian mengenai negara ini. Dari lebih 3,000 judul ini terdapat buku mengenai arkeologi, pertanian, perlombongan, botani, perbankan dan perikanan. Namun kekuatan koleksi ini adalah dalam bidang sejarah termasuk mengenai pentadbiran kerjaan, politik , pentadbiran, kisah pengembaraan, etnogeografi dan alam semula jadi abad ke 19 dan ke 20 Tanah Melayu. Koleksi beliau juga merangkumi koleksi terpilih bahan penerbitan bahasa, dan kebudayaan Melayu, pendidikan, Perang Dunia Kedua, penaklukan Jepun ke atas Malaya dan Singapura serta zaman dharurat Komunis Malaya yang berikutan selepas itu. Koleksi beliau juga termasuk buku yang berbentuk memoir dan bibliografi hasil penulisan bekas Residen British atau Pegawai-pegawai British yang pernah berkhidmat di Malaya. Terdapat juga dalam koleksi ini beberapa buku fiksyen dan buku kanak-kanak.

Keunikan perolehan koleksi John Bastin ini adalah terletak pada cara koleksi ini diurus. Koleksi ini disediakan dengan katalognya sendiri dalam dua jilid. Catalogue of the Malayan Library of John Bastin disusun dalam format yang mudah dikesan dan ada juga diantara bahan yang mempunyai anotasi. Sesungguhnya, pelaburan yang telah dibuat atas perolehan aset ini amat bernilai dengan mengambilkira ketandusan bahan seumpama ini dalam koleksi mana-mana perpustakaan di negara kita. Kini Malaysia boleh berbangga bahawa setidak-tidaknya ia mempunyai sebahagian besar koleksi Malaysiana yang ada juga terkumpul di The British Library.

 

Koleksi Aziz Jahpin

Aziz Jahpin atau nama sebenarnya Aziz Alias adalah seorang karyawan yang tidak asing lagi di tanah air kita. Beliau yang banyak menghasilkan novel dan skrip drama telah beberapa kali memenangi anugerah penulisan bagi penulisan kreatif beliau termasuk novel Pulanglah Perantauan, skrip drama Puteri Ibunda dan Seroja. Pada 11 Februari 1998, Aziz Jahpin telah dengan rasminya menyerahkan lebih 1,000 koleksi asal hasil penulisan beliau kepada PNM untuk diabadikan.

 

Koleksi A. Halim Nasir

Abd. Halim Nasir adalah satu nama besar dalam dunia penulisan Melayu khususnya berkaitan dengan penyelidikan mengenai senibina Melayu, rumah tradisional Melayu, masjid, sungai dan perkara yang menyentuh kosmologi Melayu. Keunikan Abd. Halim terletak kepada kesungguhannya dan aktifnya ia menjalankan penyelidikan dalam lapangan yang diceburinya yang telah membawanya merantau hampir keseluruhan wilayah alam Melayu Nusantara. Hampir kesemua hasil penyelidikannya telah dibukukan dan dijadikan bahan rujukan sarjana tempatan dan luar negara. Koleksi foto dan slaid merupakan satu lagi bahan yang unik dalam koleksi peribadi beliau. Ia mengandungi gambar-gambar bersejarah yang mungkin sukar didapati sekarang. Inisiatif Abd. Halim Nasir menawarkan PNM koleksi peribadi beliau untuk dirakamkan sebagai khazanah negara sebelum beliau meninggal dunia sesungguhnya satu kebetulan yang tidak diduga. Kini walaupun tokoh karyawan ini sudah meninggalkan kita, namun sumbangannya kepada dunia ilmu masih mampu dinikmati oleh generasi yang ada dan yang akan datang.

 

Koleksi Cerita Cina Peranakan

Masyarakat Cina Peranakan atau lebih dikenali sebagai cina baba dan nyonya adalah satu golongan msayarakat tempatan yang telah lama menetap di tanah air ini khususnya di Melaka. Keunikan adat resam dan budaya hidup mereka sama ada dari segi berpakaian dan bertutur masih dipelihara hingga kini. Melalui pengesanan yang dibuat oleh PNM, khazanah koleksi nadir Malaysiana telah berupaya diperkukuhkan melalui perolehan lebih 300 judul buku cerita Tiongkok yang ditulis dalam bahasa cina peranakan. Bahasa cina peranakan adalah bahasa Melayu yang dituturkan mengikut loghat dan sebutan unik cina peranakan. Keupayaan golongan baba dan nyonya untuk bertutur dan membaca bahasa Melayu mengikut loghat tersendiri yang dirakamkan dalam bentuk cerita merupakan satu koleksi yang unik.

 

Koleksi Terbitan Fana

Bermula pada tahun 1995, Perpustakaan Negara Malaysia telah berusaha untuk mengumpul koleksi bahan fana (ephemeral materials). Bahan fana ini termasuk brosur, poster, buku cenderamata, poskad dan bahan seumpamanya. Sebenarnya bahan fana adalah juga penting kerana maklumat yang terdapat di dalamnya merakamkan sesuatu peristiwa yang mungkin tidak tertulis di mana-mana bahan lain. Pada zahirnya bahan ini mungkin kelihatan tidak penting kerana ia bercirikan hasil terbitan yang tidak mempunyai isi kandungan yang banyak dan bersifat temporari. Oleh yang demikian bahan-bahan ini sering dibuang selepas ianya selesai digunakan umpamanya buku aturcara bagi majlis-majlis tertentu dan sebagainya. Usaha yang dibuat oleh PNM mengumpul bahan seumpama ini adalah bagi memastikan supaya ianya tidak hilang begitu sahaja. Dengan demikian maklumat yang ada di dalam mana-mana bahan fana dapat dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja. Bahan filateli juga terdapat dalam koleksi ini iaitu setem-setem Malaysia termasuk sampul surat hari pertama dan sebagainya.

 


Perpustakaan Negara Malaysia
232, Jalan Tun Razak, 50572 Kuala Lumpur
Telefon : (603) 26871700 | Faks : (603) 26927082
E-mail : [email protected]

Hak Cipta Terpelihara �2000 Perpustakaan Negara Malaysia