PERSEPAKATAN LIMA BUAH NEGARA



Pada 10.6.1968, Persidangan Pertahanan Lima Negara kali pertama yang terdiri daripada negara-negara Australia, Britain, Malaysia, New Zealand dan Singapura telah diadakan di Wisma Putera, Kuala Lumpur. Persidangan ini dirasmikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tujuan persidangan ini adalah untuk mencapai persetujuan bersama mengenai bentuk pertahanan yang ideal setelah pengunduran tentera-tentera British pada tahun 1971. Persidangan secara tertutup yang berlangsung selama dua hari itu (10-11 Jun) telah membincangkan mengenai dasar kepentingan bersama berkenaan dengan keamanan dan kestabilan kawasan yang terlibat serta hasrat untuk bekerjasama rapat di kalangan negara-negara yang terlibat.

 


Perkara utama perbincangan disidang itu ialah pembentukan satu sistem pertahanan bersama di antara Malaysia dan Singapura serta bantuan ketenteraan dan ekonomi yang akan diberikan dari tiga negara ahli yang lainnya. Antara lain perbincangan ialah mengenai pertimbangan politik dan strategi jangka panjang yang melibatkan pertahanan Malaysia dan Singapura selepas tahun 1971.

Sidang Pertahanan Lima Negara bersetuju mengadakan susunan pertahanan darat, laut dan udara bagi Malaysia dan Singapura selepas pengunduran British dalam tahun 1971.

 

 


Sumber :

Arkib Negara Malaysia



? 2001 Hak Cipta Terpelihara
Perpustakaan Negara Malaysia