PELAYARAN MENGELILINGI DUNIA SECARA SOLO



Datuk Azhar Mansor mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mencipta rekod belayar mengelilingi dunia secara solo tanpa bantuan kuasa enjin. Walaupun beliau ingin melakukan pelayaran tersebut dalam tempoh kurang 100 hari, beliau telah menghadapi masalah berkaitan tiang layar yang patah ketika berada di Cape Horn, Amerika Selatan dan dengan demikian hanya berjaya melakukannya dalam masa 190 hari. Kegigihan beliau adalah contoh unggul Semangat Malaysia Baru. Pelayar yang berusia 41 tahun ketika berangkat pada 2 Februari 1999 itu telah belayar dengan kapal layarnya bernama Jalur Gemilang yang berharga RM2 juta.

 


Pelayaran Datuk Azhar meliputi 21,600 batu nautika. Pada 11 Ogos 1999, Datuk Azhar Mansor selamat tiba di Awana Porto Malai Resort, Langkawi dan telah disambut sebagai seorang wira negara oleh rakyat Malaysia diketuai oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Keperwiraan Datuk Azhar Mansor adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.

 



Sumber :

Risalah sampul surat hari pertama
Berita Harian 12/08/1999
Harian Metro 12/8/1999



? 2001 Hak Cipta Terpelihara
Perpustakaan Negara Malaysia