Minat sebahagian besar anggota kerajaan dalam aktiviti sukan dan
rekreasi telah menggerakkan kerajaan untuk menubuhkan The Federation
of Malaya Government Servants Sports Council pada tahun 1956. Tuan
Haji Mustapha Al-Bakri telah dilantik sebagai Presidennya yang pertama
dan memegang jawatan sehingga Februari 1960. Kejohanan Olahraga
pertama anjuran Majlis ini telah diadakan pada 4 ? 5 Oktober 1957
sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
dan telah dirasmikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Al-Marhum Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj serta dihadiri 356 orang pegawai. Pada
27 Januari 1961, Majlis ini telah ditukar nama kepada Federation
of Malaya Government Services Welfare And Recreational Council.
|
|
Majlis ini telah dengan rasminya dikenali dengan nama Majlis Kebajikan
dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) pada tahun
1963. Kini, MAKSAK memainkan peranan yang aktif untuk mengeratkan
hubungan silaturahim dan memupuk semangat persaudaraan di kalangan
anggota-anggota kerajaan melalui aktiviti sukan, rekreasi sosial
dan kebajikan. Antara tokoh-tokoh sukan yang telah diketengahkan
oleh Majlis ini termasuk Abdul Ghani Minhat, Ng Boon Bee, M. Jegathesan,
Mokhtar Dahari, Ho Koh Chye dan banyak lagi.
|