BAPA WARTAWAN DAN BAPA CERPEN MELAYU




Abdul Rahim Kajai (1894-1943) adalah bapa wartawan dan bapa cerpen Melayu pertama. Penglibatan beliau yang cemerlang dan penuh iltizam dalam arena persuratan dan kesusasteraan Melayu melayakkan beliau digelar sebagai Bapa Wartawan. Dalam arena penulisan, beliau juga dikatakan pelopor awal bidang cerpen kerana karya-karya beliau menarik dan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Peranannya dalam kesusasteraan dan kewartawan tidak dapat dipisahkan daripada semangat kebangsaan Melayu kerana beliaulah antara wartawan Melayu yang mula-mula menyuarakan beberapa soal pokok politik dalam karyanya.

 


Dalam tempoh 13 tahun sebagai wartawan, beliau telah berkhidmat dengan 6 buah akhbar Melayu iaitu Saudara, Majlis, Warta Malaya, Utusan Melayu, Perubahan Baharu, dan Berita Malai. Beliau juga merupakan ?guru? kepada wartawan-wartawan pelapis dengan menulis tentang ilmu penulisan dalam Akhbar Majlis (1931-1935). Dalam bidang penulisan cerpen pula, 3 daripada kumpulan cerpennya iaitu Banyak Udang Banyak Garam, Lain Padang Lain Belalang dan Pusaka Kajai menjadi saksi dan pusaka yang penting bagi kesusasteraan Melayu.



Sumber :

Abdul Rahim Kajai : wartawan dan sasterwan Melayu/ Abdul Latiff Abu Bakar, 1984.
Jurnalisme Akhbar/Mustaffa Suhaimi, 1986



? 2001 Hak Cipta Terpelihara
Perpustakaan Negara Malaysia