Keris Mas atau nama penuhnya Kamaluddin Muhamad adalah merupakan
seorang tokoh dalam bidang penulisan/kesusateraan yang pertama kalinya
dianugerahkan gelaran ?Sasterawan Negara?. Beliau menerima anugerah
tersebut pada 26 April 1981 di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen.
Beliau telah dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara
berdasarkan kepada kewibawaan beliau dalam bidang kesusasteraan
tanah air terutama dalam bidang penulisan cerpen.
Melalui karya-karya seni cerpennya jelas memperlihatkan kegigihan
beliau sebagai seorang nasionalis yang berwawasan, pejuang keadilan
sosial, pengawal dan pengukir bahasa dan sastera bermutu serta pemikir
kesusasteraan yang tajam. Sebelum itu beliau juga pernah dianugerahi
?Anugerah Pejuang Sastera? pada tahun 1976 oleh pemerintah kerajaan
Malaysia.
Karier Kerjaya
Kamaludin Muhammad (Keris Mas) telah dilahirkan pada 10 Jun 1922,
di Kampung Ketari, Bentong Pahang.
Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan bagi Parti Kebangsaan
Melayu Malaya (PKMM) dan Pengarang Penerbitan Utusan Melayu di Singapura.
Beliau banyak berjasa dan memberi sumbangan dalam memajukan majalah
Mastika dan akhbar Utusan Zaman. Selepas itu beliau berkhidmat dengan
Warta Negara sehingga tahun 1956. Beliau adalah salah seorang tokoh
ASAS 50 yang cukup aktif dan terkenal dan pernah berkhidmat sebagai
Pengarang Umum di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956.
Sebelum bersara pada 10 Jun 1977 beliau memegang jawatan Ketua Bahagian
Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Selepas bersara, beliau menjadi
?Penulis Tamu? di Universiti Malaya dan di Dewan Bahasa dan Pustaka.
|
|
Sumbangan
Sumbangan utama beliau ialah dalam lapangan cerpen. Karya pertama
beliau berjudul ?Wasiat Orang Bangsawan?, tersiar dalam Suluh Malaya,
1 Jun 1946. Sehingga akhir tahun 1960, sebanyak 60 buah cerpen telah
dihasilkan. Cerpen-cerpennya itu kini telah dimuatkan dalam beberapa
buah antologi iaitu;
Mekar dan Segar (1959), Dua zaman (1963), Patah Tumbuh (1963), Pertentangan
(1968)
Keris Mas juga turut menghasilkan novel. Antaranya ; Pahlawan Rimba
Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967),
Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1983), Rimba Harapan (1985)
Sudut Sejarah Kesusasteraan
Beliau muncul sebagai tokoh penulis cerpen dari ASAS 50 yang mempunyai
pengaruh begitu kuat dalam perkembangan cerpen, terutama sehingga
tahun-tahun 1960-an. Karya-karya beliau begitu jelas dan kuat kesan
penyuaraan keadilan sosial dengan watak-watak manusia yang hidup.
Dengan begitu beliau dapat dianggap penulis yang berjaya mematangkan
genre cerpen dan mengukuhkan tradisinya.
Bagi menghargai jasa dan sumbangan Keris Mas dalam bidang penulisan
dan kesusasteraan tanah air, beliau telah dianugerahkan Anugerah
Pejuang sastera (1976) dan Anugerah Sastera Negara pada 26 April
1981. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1992.
|