![]() ![]() � 1999 Hak Cipta Terpelihara Edisi 2001 Perpustakaan Negara Malaysia sp-kacip.htm |
![]() |
Alat yang terdiri daripada bilah tajam yang bergerak dan bahagian tumpul yang pegun, berfungsi seperti pisau pemotong. Digunakan untuk memotong atau mengacip kepingan venir mengikut ukuran yang ditetapkan seperti isi buah pinang dan juga ubat-ubatan tradisional yang terdiri dari tumbuh-tumbuhan. Kacip diperbuat dari logam keras yang ditempa oleh pandai besi, kacip hiasan dibentuk dengan menggunakan tembaga atau perak. Pelbagai bentuk telah dicipta mengikut cita rasa pembuatnya. Berukuran diantara 10sm. hingga 22sm. tetapi terdapat juga yang bersaiz besar sehingga 55sm. Kebanyakan rupa bentuk kacip serupa, mempunyai dua bilah mata yang bertaut dan mempunyai hulu atau tangkai dikedua-dua bilahnya. Ragamhias kacip amat unik, dibahagian muncung serta badan menyerupai kepala binatang seperti kuda, kerbau, gajah, monyet, burung, ayam, manusia atau dewa-dewa dan bentuk bebas. Terdapat juga kacip yang diukir dengan motif flora pada tangkai dan badannya dengan menggunakan salutan perak atau emas. Kacip juga dikenali jenisnya iaitu jantan dan betina ada juga yang tiada ketentuan jenisnya dengan pelbagai bentuk segi atau kebulat-bulatan. Kacip jantan memaparkan kesegakkan rupa paras atau berbalung dan kacip betina pula tidak begitu menarik. Masyarakat Melayu Malaysia memanggilnya sebagai kacip dan Indonesia pula disebut caket terutama masyarakat Bali. Di negeri Deccani selatan India, Kannada (Karnataka) mengenali dengan nama adakottu dan adekitta di Marathi (Maharastra). Walaupun demikian ianya lebih dikenali dengan nama serota. Lain pula dengan mayarakat Bengali ia dipanggil yanti dan Gujarati pula dengan nama sudi atau sudo. Manakala di Sri Lanka pula dipanggil gire atau giraya. Di dalam sesebuah tepak sirih kacip disusun bersebelahan dengan daun sirih yang tersusun rapi. Ianya merupakan perkakasan penting selain gobek bagi melengkapkan keakuran sebuah tepak sirih. Kacip juga dijadikan sebagai perkakasan penting dalam pelbagai upacara adat resam Melayu, misalnya dalam adat melenggang perut ianya digunakan sebagai pra-syarat perkakasan yang pastinya diperlukan. Ketika bayi yang baru lahir, kacip diletakkan dibahagian atas kepala ketika tidur atau dibawah bantal bayi tersebut. Mengikut kepercayaan ianya menjauhkan dari sebarang gangguan makhluk halus.
|