Dia membuat sebilah pedang,
Disimpan gula dengan sirih;
Sudah ada Nabi Adam,
Ada pula Nabi Idris.
Dua belas bintang di langit,
Bintang di raja dari Melaka;
Kata tuan pinang bersisit,
Kapur bercampur air mata.
Hanyut pinang dari hulu,
Pinang berisi madu lebah;
Bila terkenang zaman dahulu,
Rindu sekarang menggigit lidah.
Hilir rakit sungai sempit,
Anak raja turun menuba;
Hulur sirih jari dipicit,
Itulah tempat muda mencuba.
Kalau nak tau ara berbunga,
Sirih kuning di celah lantai;
Kalau nak tau syurga dunia,
Putih kuning panjang lampai.
Kalau tak boleh sirih Cina,
Sirih di darat ku ambil juga;
Jika tak boleh atas dunia,
Di dalam akhirat ku ambil juga.
Kalau tuan mengasah kapak,
Ngasah mari sepagi hari;
Saya bawa sirih setepak,
Untuk saya ganti diri.